Di sebalik tepukan gemuruh dan sorakan kegembiraan penonton yang kedengaran saat namanya diumumkan sebagai pemenang trofi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35, tahun lalu, ada juga segelintir pihak tidak menyenangi kejayaan diraihnya itu.
Bukan membuat tuduhan melulu, tetapi artis serba boleh, Elly Mazlein, 44, dapat rasakan ada aura negatif mengelilingi dirinya sejak trofi popular itu berada dalam genggaman berbanding ketika belum memenangi anugerah.
Berikutan pengiktirafan diterima, Elly mendakwa persepsi segelintir pihak terhadap dirinya berubah apabila ada yang menganggapnya sebagai pencabar yang mampu tenggelamkan gandingan apabila beraksi bersama.
“Jangan ilusi dan takut saya nak berlebihan daripada mereka. Kita kena ingat, program dikendalikan bukan kita punya, tapi milik stesen penyiaran. Janganlah berhalusinasi anggap ia milik kita.
“Program perlu dikendalikan bersama, jadi jangan ‘shaking’ atau rasa tergugat dengan kehadiran saya.
“Kita ada sesi baca skrip, jadi gunakan ruang ini untuk duduk berbincang. Tak perlu nak syok sendiri hingga menganiaya orang lain,” luah Elly atau lebih akrab disapa Kak Lina Pom Pom kepada BH Online.
Menyifatkan pengalaman mengacarakan program realiti, Big Stage 2023 bersama Rina Nose sebagai momen terbaik, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu percaya keikhlasan dalam menjalankan tugas mampu mencipta keserasian, sekali gus menjadikan program yang dikendalikan itu berjaya.
“Allah sudah susun rezeki, bezanya cepat atau lambat sahaja. Masa kerja dengan Rina Nose, saya anggap kami berjaya. Ini kerana keikhlasan kami ketika bekerja, selain menyedari ia adalah tanggungjawab bersama ” ujar Elly. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/Kosmo-Digital.jpg)