Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tak patah semangat jejak asal usul keluarga kandung di China

    CHINA – Di sebuah lot konkrit yang kosong di barat daya China, Loulee Wilson memasukkan segenggam batu-batuan ke dalam beg – sebagai kenangan dari tempat di mana dia percaya telah ditinggalkan semasa dia masih anak damit.

    Loulee, seorang pelajar kolej warga Amerika, dilahirkan di China tetapi telah ditinggalkan oleh ibu bapanya, yang disyaki disebabkan rasa takut kerana melanggar dasar satu anak negara itu, di mana keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak akan dihukum sehingga strategi itu dimansuhkan pada 2016.

    Sebaik sahaja dia dilahirkan, dia ditemui di luar kilang yang kini telah dirobohkan di pekan Dianjiang, dibawa ke rumah anak yatim dan kemudiannya diambil oleh sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat (AS).

    Kini berusia 19 tahun, dia merupakan antara sejumlah anak-anak angkat bangsa Cina yang kembali ke negara kelahiran untuk menjejaki ibu bapa kandung mereka dan memahami asal usul mereka.

    “Jika saya (menemukan mereka), itu adalah perkara yang menakjubkan. Tetapi saya tidak tahu jika saya akan berjaya,” katanya kepada AFP.

    Corinne Wilson bercakap dengan penduduk tempatan dengan harapan dapat menemukan ibu bapa kandung Loulee di daerah Dianjiang, di perbandaran Chongqing, barat daya China. – AFP
    Gambar bertarikh 7 Jun 2024 menunjukkan Corinne Wilson mengedarkan risalah kepada penduduk tempatan. – AFP
    Corinne Wilson menenangkan Loulee di luar sebuah kilang yang telah dirobohkan di mana Loulee percaya dia ditemui semasa anak damit. – AFP

    “Ia akan membantu saya untuk mengetahui lebih banyak mengenai kisah saya.”

    Lebih 82,000 kanak-kanak yang lahir di China telah diambil oleh keluarga-keluarga Amerika sejak 1999 sebagai anak angkat, menurut angka dari Jabatan Negeri – kebanyakannya adalah perempuan, disebabkan oleh budaya Cina yang lebih mengutamakan anak lelaki.

    Ramai yang telah diserahkan pada tahun 2000an ketika Beijing mengetatkan lagi sekatan kelahiran manakala undang-undang berkaitan anak angkat luar negara pula agak longgar.

    Apabila kanak-kanak tersebut mencecah dewasa, mereka mempunyai ‘permintaan yang sangat besar’ untuk berjumpa semula dengan keluarga kandung mereka, kata Corinne Wilson, ibu angkat Loulee.

    Dia merupakan pengasas The Roots of Love, salah satu daripada beberapa organisasi yang ditubuhkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menghubungkan semula anak-anak angkat dengan keluarga mereka di China.

    “Ada sebahagian daripada mereka yang bangga menjadi bangsa Cina,” katanya kepada AFP.

    MASA SILAM YANG TRAUMATIK

    Pada Jun, keluarga angkat Loulee telah memulakan pencarian untuk keluarga-keluarga kandung di Dianjiang yang terletak kira-kira 150 kilometer dari bandar raya besar Chongqing.

    Mereka mengedarkan risalah-risalah yang mengandungi nama, umur serta gambar Loulee dan anak-anak angkat lain, dan menggesa orang-orang yang telah menyerahkan anak-anak mereka untuk memberikan sampel DNA.

    Kemungkinan untuk menemukan padanan adalah rendah disebabkan penyimpanan rekod yang tidak lengkap, perbezaan bahasa, memori yang semakin pudar dan kewaspadaan penduduk tempatan terhadap penipuan yang mungkin berlaku.

    Manakala beberapa komuniti pula takut membangkitkan trauma masa silam yang tersembunyi di sebalik kampung-kampung dan sawah-sawah padi yang damai, di mana kuota kelahiran dikuatkuasakan dengan sangat ketat satu ketika dahulu.

    Di bawah dasar satu anak – secara praktikalnya, mempunyai sekatan kelahiran yang berbeza-beza – pasangan di Dianjiang selalunya dibenarkan untuk memiliki anak kedua sekiranya anak pertama mereka adalah seorang perempuan.

    Namun, pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang sangat tegas terhadap kelahiran yang tidak dibenarkan, mengancam untuk merobohkan rumah-rumah, merampas haiwan-haiwan ternakan dan mengenakan denda yang sangat tinggi, kata penduduk-penduduk kampung kepada AFP.

    “Kami telah dipaksa melakukannya. Kami tidak mempunyai pilihan,” kata tukang kayu Yi Enqing, 57, yang berharap akan dapat menjejaki anak perempuannya yang telah diserahkan untuk diangkat pada awal 1990an.

    “Saya takut dia tidak akan dapat menerima kami sekarang. Pasti dia ada menyimpan rasa dendam di dalam hatinya,” katanya kepada AFP di bengkelnya yang dipenuhi habuk kayu.

    ISU IDENTITI

    Di sebuah kampung, seorang lelaki pertengahan umur meludah ke dalam sebuah bekas sementara isterinya menitiskan air mata mengenangkan anak perempuan yang kali terakhir mereka lihat sebagai anak damit pada 1990.

    “Saya sudah mencari begitu lama tetapi tidak menemukannya,” katanya sambil seorang pembantu The Roots of Love dengan berhati-hati menyimpan dan membungkus sampel air liur tersebut.

    “Saya tidak pernah mahu menghantar dia pergi,” tambahnya. Pasangan itu meminta agar identiti mereka dirahsiakan demi melindungi privasi mereka.

    Sampel-sampel berkenaan akan dihantar ke makmal di mana DNA mereka akan diekstrak dan dibandingkan dengan pangkalan-pangkalan data yang ada.

    Sekiranya ada padanan, The Roots of Love akan menghubungkan semula keluarga yang sudah lama terpisah itu, seperti pada tahun lepas di mana sepasang anak kembar perempuan telah dihubungkan semula dengan ibu kandung mereka setelah terpisah hampir dua dekad.

    Pertemuan semula ini boleh membangkitkan emosi kompleks bagi anak-anak angkat, yang pakar katakan selalu bergelut dengan masalah kesihatan mental berkaitan identiti dan diskriminasi perkauman.

    “Kebanyakan anak-anak angkat bangsa Cina menyatakan percanggahan perkauman (atau) budaya akibat membesar dalam persekitaran yang sangat seragam dan berkulit putih,” kata Grace Newton, seorang penyelidik di Universiti Chicago yang mengkaji adopsi rentas negara dan kaum.

    “Ini bermakna kehilangan identiti, budaya kelahiran, bahasa kelahiran dan keluarga kandung awda,” kata Cassidy Sack, seorang sukarelawan anak angkat di Projek Nanchang yang berpangkalan di AS, yang telah menghubungkan banyak keluarga kandung sejak 2018.

    “Itulah kehidupan yang sepatutnya awda lalui. Dan kemudian, di luar kawalan awda, keputusan dibuat untuk awda, dan awda dibawa ke negara lain.”

    KADAR KELAHIRAN

    China telah melancarkan dasar satu anak pada 1979 kerana bimbang populasi pendudukannya akan berkembang secara tidak terkawal.

    Dasar tersebut dianggarkan telah menghalang ratusan juta kelahiran, tetapi ia telah dikecam kerana penguatkuasaannya di beberapa kawasan termasuk kontraseptif, pengguguran dan pemandulan secara paksaan.

    Dasar itu juga telah dituduh menyebabkan peningkatan kadar pembunuhan anak damit, mendorong pemerdagangan kanak-kanak dan secara kekal memesongkan nisbah lelaki dengan wanita di China.

    “Ia telah menyebabkan trauma mental yang serius terhadap ramai warga China,” kata He Yafu, seorang ahli demografi bebas, kepada AFP.

    Beijing secara rasmi telah melonggarkan sekatan kelahiran mulai tahun 2016, dan pasangan di China telah dibenarkan untuk mempunyai tiga orang anak sejak 2021.

    Walau bagaimanapun, kadar kelahiran di negara ini terus menjunam, meninggalkan sejumlah orang muda yang semakin sedikit untuk menjaga populasi warga emas yang semakin meningkat jumlahnya.

    Bagi keluarga angkat Loulee, pencarian ibu bapa kandung Loulee masih berterusan.

    “Saya hanya mahu mereka tahu bahawa saya gembira dan sihat, dan rasa bersyukur dengan kehidupan yang saya jalani,” kata Loulee – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda