Oleh Syahmi Hassan –
Bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan, cabaran utama ialah memastikan telefon sentiasa dicas dan mudah dilihat, terutamanya ketika berada di bilik hotel yang terasa asing.
Masalahnya, apabila telefon diletakkan rata di atas meja sisi katil, sukar untuk melihat skrin dengan jelas.
Penyokong telefon kecil ini direka untuk menyelesaikan masalah itu iaitu memegang telefon pada sudut tontonan yang sempurna dan pada masa sama berfungsi sebagai gantungan kunci supaya awda boleh membawanya ke mana-mana.
Menariknya, reka bentuknya membolehkan telefon bimbit diletakkan secara melintang, sesuai untuk mod paparan masa.
Pastikan fungsi ‘StandBy’ diaktifkan dalam Settings > StandBy, kemudian sambungkan telefon bimbit kepada sumber kuasa dan letakkan secara melintang.
Awda boleh meletakkannya ke kiri atau ke kanan untuk menukar paparan jam mengikut pilihan. (Gambar 1)






BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN:-
• Gergaji skrol berbilah halus
• Kayu keras lebihan setebal ½ inci
• Gerudi dengan mata gerudi 1/16 inci
• Skru bermata cangkuk (screw eye)
• Gantungan kunci
• Kertas pasir
• Pembaris dan pensel (Gambar 2)
LAKARAN
Ukur panjang kayu sepanjang 2.5 inci dengan lebar 1 inci.
Lukis takikan berukuran ½ inci x ½ inci, kira-kira ½ inci dari salah satu hujung seperti ditunjukkan dalam gambar. (Gambar 3)
POTONG, AMPLAS DAN PASANG
Potong bentuk yang telah dilakar menggunakan gergaji skrol. Bahagian atas takikan boleh dilaras dengan sedikit condong seperti dalam gambar untuk mendapatkan sudut yang selesa.
Gunakan kertas pasir untuk meratakan dan membulatkan semua tepi.
Gerudi lubang kecil di hujung yang bertentangan dengan takikan untuk memasang skru bermata cangkuk.
Seterusnya, pasangkan gantungan kunci pada cangkuk tersebut. (Gambar 4, 5 & 6)
MOD PAPARAN MASA
Letakkan telefon bimbit seperti yang diterangkan sebelum ini dan sambungkan kabel pengecas.
Letakkan telefon secara melintang ke dalam takikan supaya ia bersandar pada sudut yang sesuai.
Tempatkan penyokong ini di atas meja sisi katil, hanya perlu sentuh skrin telefon untuk melihat masa pada waktu malam.
HASIL AKHIR
Hasilnya ialah alat kecil yang berguna, penyokong telefon bimbit mudah alih yang juga berfungsi sebagai gantungan kunci.
Ia ringan, mudah dibawa dan memastikan telefon awda sentiasa berada pada sudut tontonan terbaik, sama ada di rumah atau ketika dalam perjalanan.
Tip-tip tambahan:
• Pastikan potongan kayu tepat supaya telefon stabil.
• Awda boleh menggunakan kayu jenis lain atau mengecatnya mengikut cita rasa.
• Elak takikan terlalu dalam bagi mengelakkan telefon terjatuh.

