Tak perlu berenang, rakyat Jerman diterbangkan pulang

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 6 APRIL – Pelancong Jerman, Steffen Schmieg bergurau hari ini mengatakan pilihan terakhirnya keluar dari New Zealand adalah secara berenang.

Schmieg merupakan antara anggaran 100,000 pelancong yang mendapati diri mereka terkandas di New Zealand selepas ia mengenakan langkah lockdown ketat 12 hari lalu dalam usahanya mengehadkan penularan koronavirus.

Minggu lalu, pegawai melonggarkan peraturan, cukup untuk membenarkan pelancong mendapatkan penerbangan menghubungkan pesawat domestik dan pesawat cartar yang mula beroperasi.

Kira-kira 12,000 rakyat Jerman mendaftar untuk program repatriasi dan hari ini, Schmieg menyertai berpuluh-puluh rakyat Jerman lain di Lapangan Terbang Christchurch untuk penerbangan pulang ke Frankfurt. Pesawat itu disewa oleh kerajaan Jerman.

Schmieg, 26, berkata dia melancong ke New Zealand sebulan lalu bagi melawat seorang rakan kemudian mengelilingi negara itu. Dia berjaya bertemu rakannya namun selama ini terkurung di rumah sewa Airbnb semenjak lockdown bermula.

“Saya tidak melakukan apa-apa,” katanya. “Santai-santai, relaks dan makan terlalu banyak.”
Menurutnya New Zealand adalah sebuah negara selamat dan dia tidak terlalu bimbang mahu pulang, mengatakan semuanya ok. – AP

Pelancong asing tiba di terminal Lapangan Terbang Christchurch New Zealand bagi mendapatkan pesawat pulang ke negara mereka. Sekitar 12,000 rakyat Jerman sudah pun mendaftar bagi menaiki pesawat pulang ke negara mereka selepas New Zealand melaksanakan lockdown. – AP