Hanya kerana populariti video kejutkan orang ramai bangun sahur pada Ramadan, pempengaruh media sosial popular Indonesia, Mimi Peri kini melangkah setapak lagi menceburi dunia lakonan.
Bukan sahaja terkenal di negara kelahirannya, Mimi atau nama sebenarnya, Ahmad Jaelani, 35, turut meraih perhatian luar biasa peminat di Malaysia.
Justeru, tidak hairan kehadirannya ke Malaysia bagi mempromosikan filem terbaharu, Mat Tudung Begins mendapat sambutan hangat.
Mimi berkata, dia tidak pernah terfikir terbabit dalam dunia lakonan, apatah lagi, tawaran hadir di Malaysia.
Justeru, katanya, dia berterima kasih kepada kenalannya dalam Instagram (IG) yang juga pengarah filem, Datuk Fizz Fairuz memberi peluang kepadanya.
“Sejujurnya, saya bersyukur ditawarkan berlakon dalam filem Mat Tudung Begins. Ini pengalaman baharu buat saya membintangi filem di negara luar.
“Ia juga perkara yang tidak pernah difikirkan kerana saya merasakan peluang seumpama ini tak mungkin dapat diperoleh.
“Tetapi, saya memang berhasrat menjadi orang terkenal dan berlakon filem. Allah memakbulkan doa ini menerusi Fizz.
“Kali pertama saya mengenali Fizz dan isterinya, Datin Almy Nadia menerusi siaran langsung dalam Instagram pada 2019,” katanya ditemui pada sidang media tayangan perdana Mat Tudung Begins di TGV 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, anak kelahiran Kendari, Sulawesi, Indonesia itu berkata, dia tidak lena tidur selama sebulan memikirkan sambutan bakal diterima penonton di Malaysia, lebih lagi, ini juga pengalaman pertamanya ke luar negara.
“Saya tak pernah ke luar negara. Jadi, saya tak dapat tidur nyenyak selama sebulan kerana fikir bagaimana keadaan di Malaysia.” – Agensi