Tak putus asa, Ayu damit jual kek pisang

Bermula suka-suka dan sekadar menjamu suami, Ayu Damit akhirnya menjual kek pisang hasil air tangan kepada orang ramai.

Ayu atau nama sebenar, Norayu Damit berkata, secara tidak sengaja idea menjual kek pisang timbul selepas memenuhi permintaan suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin yang teringin menikmati sajian itu.

“Apabila suami teringin makan kek pisang, saya fikir, kenapa tidak sediakan sendiri. Saya mula cari resipi dan melihat cara membuatnya di YouTube.

“Kek yang saya hasilkan akhirnya menjadi dan memenuhi tekak suami. Saya juga berkongsi kek itu dengan teman-teman. Mereka bertanya kenapa tidak jual kerana enak,” katanya kepada media. Ayu berkata, dia berusaha memperbaiki mutu kek pisang air tangannya.

“Saban hari, saya cuba perbaiki kekurangan dan menambah baik mutu kek hingga puas hati.

Bermula suka-suka dan sekadar menjamu suami, Ayu Damit akhirnya menjual kek pisang hasil air tangan kepada orang ramai. – Agensi

“Tidak sangka pula, apabila menjualnya sejak sebulan lalu pada harga RM25 sebiji, ramai yang suka dan membeli berulang kali,” katanya.

Ayu yang muncul dengan single Pertama itu menambah, dalam penularan COVID-19, ikhtiar untuk mencari rezeki tidak boleh putus.

“Kalau hendak diikutkan, ini bisnes kelima yang saya usahakan dari rumah selepas cili jeruk, bahulu, rojak dan kerepek pisang,” katanya.

Sementara itu, ditanya apakah dia menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan penularan COVID-19, Ayu lebih selesa tidak bercerita mengenainya.

“Saya dan suami memilih untuk tidak berkongsi mengenai perkara itu. Adalah kami membantu apa yang patut, tapi, biarlah kami yang tahu.

“Bukan semua perkara kita perlu kongsi dalam media sosial. Saya bimbang, kalau kongsi berlebihan, nanti disalah erti.

“Jadi, lebih baik buat senyap-senyap sahajalah,” katanya yang turut membantu dengan membeli produk jualan mana-mana usahawan atas talian yang mencari rezeki sampingan. – Agensi