BANDAR PERMAISURI, 19 DIS – Paras air yang naik terlalu cepat berikutan hujan lebat membuatkan Nur Amirah Ramli, 25, dari Kampung Buluh Hilir, di sini mengambil keputusan untuk segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan diri dan keluarganya.
Keadaan ibunya yang berusia 60 tahun dan terlantar menambah keresahan kerana mereka tidak mampu untuk berpindah dengan berjalan meranduk air seperti mana jiran-jiran yang lain.
“Sebelum ini, walaupun berlaku banjir termasuk banjir besar pada 2005 kami tak pernah berpindah kerana rumah kami tinggi, tetapi kali ini sangat berbeza kerana air lebih dalam daripada biasa iaitu separas paha (dewasa) dan arus sangat deras,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Nur Amirah berkata mereka sekeluarga menunggu untuk dipindahkan sejak malam tadi, tetapi terpaksa bersabar kerana memahami kekangan dihadapi anggota keselamatan dalam tempoh yang agak kelam kabut itu.
Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila akhirnya berjaya dipindahkan awal pagi tadi oleh kumpulan sukarelawan banjir dengan menggunakan bot dan ditempatkan di PPS Masjid Lama Kampung Buluh Hilir.
“Bila jadi situasi yang serius macam ini saya hanya bimbangkan mak yang ada pelbagai penyakit kronik dan terlantar sejak Ogos lepas. Di rumah kami tinggal empat beranak iaitu mak, ayah, adik dan saya,” katanya sambil berterima kasih kepada sukarelawan dan anggota keselamatan yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.
Setakat 2 petang ini, seramai 17,515 orang daripada 5,018 keluarga telah dipindahkan ke 217 PPS di kesemua lapan daerah di seluruh negeri ini. – Bernama
