Siapa sangka lagu yang pernah dihasilkan 12 tahun lalu kini kembali tular, sekali gus menjadi fenomena dalam media sosial.
Itulah rezeki tak disangka-sangka buat penyanyi Malaysia, Asmidar Ahmad.
Asmidar berkata, dia tidak menyangka lagu Biar Sampai Ke Bintang nyanyiannya kembali menghantui ramai terutamanya di platform TikTok.
“Sebenarnya saya terkejut bila tahu lagu Biar Sampai Ke Bintang tular. Saya tak tahu lagu itu popular semula kerana sibuk berniaga.
“Orang selalu cakap lagu saya sering lalu di For Your Page (FYP), jadi saya anggap ia perkara biasa bila orang guna lagu Biar Sampai Ke Bintang sebagai lagu latar.

“Bila ramai ‘tag’ di setiap posting, barulah saya tahu lagu ini sudah tular. Saya cuma tak sangka kenapa lagu Biar Sampai Ke Bintang kembali tular,” katanya ketika dihubungi.
Lebih mengejutkan, Asmidar terharu apabila lagu ciptaan penyanyi dan komposer terkenal, Ajai itu berjaya menembus sehingga ke Indonesia dan kini menjadi siulan.
“Bila orang Indonesia pula maklum pada saya yang lagu Biar Sampai Ke Bintang dah popular, itu buatkan saya teramat terkejut.
“Saya tak jangka fenomena itu sehingga ke negara seberang, saya terima banyak mesej peminat Indonesia.
“Mereka doakan karier saya semakin berkembang, jadi itu buatkan saya terkejut dan terharu.
“Ada juga yang ingat saya orang Indonesia. Inilah bagusnya ada media sosial, sebelum ini saya rasa sangat mustahil berlaku kepada saya, Alhamdulillah,” ujarnya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu, Asmidar yang pernah menjuarai program nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa 2011 itu tidak berkecil hati masih ramai tidak mengenalinya biarpun lebih sedekad bergelar penyanyi.
“Itu bukan satu perkara mengejutkan kerana suatu masa dahulu pun orang kenal saya melalui satu lagu sahaja iaitu Biar Sampai Ke Bintang. – Agensi

