Pelakon dan penyanyi Korea, Lee Seung Gi akhirnya mengambil keputusan berani apabila memutuskan hubungannya dengan bapa mentua.
Memetik laporan mStar, menurut Seung Gi, 38, keputusan itu dibuat selepas bapa mentuanya iaitu Im Yeong Gyu berulang kali melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang.
“Bapa mentua saya sudah dijatuhkan hukuman dan didenda dalam rayuan atas perbuatannya sebelum ini. Tapi baru-baru ini dia didakwa sekali lagi oleh pihak berkuasa atas perbuatan haram yang sama. Saya dan isteri kecewa.
“Perkara itu juga merosakkan kepercayaan antara keluarga kami. Selepas berfikir panjang saya memilih untuk memutuskan hubungan dengan keluarga mentua,” katanya memetik Korea Boo.
Dalam pada itu, Seung Gi juga membuat permohonan maaf atas kenyataannya yang terburu-buru membela kesalahan bapa mentuanya sebelum ini.

“Saya amat menyesal dengan kenyataan terburu-buru saya sebelum ini tanpa mengkaji isu berkenaan.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada mangsa yang menderita akibat penghakiman saya,” luahnya.
Pada tahun lalu, kes bapa mentua Seung Gi mula dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Korea Selatan atas dakwaan memanipulasi harga saham dengan tujuan mengaut keuntungan secara haram.
Untuk rekod, Seung Gi mendirikan rumah tangga dengan pelakon Lee Da In yang juga merupakan anak kepada aktres era 90an iaitu Kyeon Mi Ri pada April 2023.
Pasangan itu memiliki seorang cahaya mata bersama. – Agensi