Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Takaful Brunei dianugerahi Operator Takaful Terbaik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Takaful Brunei menamatkan 2020 dengan menerima anugerah Operator Takaful Terbaik di Brunei Darussalam daripada International Finance Award.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Takaful Brunei, di sini, hari ini, syarikat itu mencapai pertumbuhan dan perkembangan berterusan dengan menyediakan perkhid-matan pelanggan berkualiti dan juga dengan pembangunan aplikasi mudah alih Takaful Brunei.

    Aplikasi itu merupakan aplikasi mudah alih pertama di Brunei Darussalam yang mendigitalkan sepenuhnya pengurusan dan perkhidmatan Takaful yang membawa kepada perubahan dalam landskap perniagaan industri insurans dan takaful.

    Kenyataan menjelaskan bahawa pengguna aplikasi Takaful Brunei semakin meningkat sejak dilancarkan pada Ogos 2020, disebabkan kesenangan akses serta kemudahan penggunaan aplikasi berkenaan bagi para pengguna untuk menyertai, membaharui, membuat tuntutan dan mengurus sijil-sijil takaful mereka.

    Ciri My Takaful aplikasi berkenaan membolehkan pengguna untuk mengurus kesemua sijil Takaful TBA dan TBK mereka di mana ia juga membolehkan mereka untuk merancang ke hadapan untuk pembaharuan, selain memberikan akses kepada sijil-sijil lalu dan aktif serta membolehkan mereka untuk memeriksa status tuntutan.

    Takaful Brunei memenangi anugerah Operator Takaful Terbaik di Brunei Darussalam daripada International Finance Award. – Gambar serahan Takaful Brunei

    Takaful Brunei, jelas kenyataan itu, akan memperkenalkan ciri-ciri tambahan kepada aplikasi berkenaan termasuk Reward Points, di mana pengguna akan berupaya mengumpul mata bagi pendaftaran, penyertaan produk, mengisi kaji selidik dan rujukan.

    Kejayaan aplikasi itu mendorong Takaful Brunei untuk melancarkan kempen terbesar sehingga kini iaitu Takaful Brunei Mobile SANANG MANANG di mana kempen itu bermatlamat untuk memberikan ganjaran kepada pengguna mudah alih Takaful Brunei dengan hadiah-hadiah bernilai kira-kira $200,000.

    Kenyataan menyatakan bahawa pengguna berdaftar, yang menyertai mana-mana produk melalui aplikasi berkenaan dengan sumbangan minimum sebanyak $50 berpeluang untuk memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta baharu, Toyota Cross spesifikasi tinggi pada Julai 2021.

    Selain itu, hadiah tambahan iaitu wang tunai $10,000 juga boleh dimenangi setiap dua bulan bermula Januari 2021 hingga Julai 2021.

    Di samping itu, Takaful Brunei Mobile juga menyediakan para pengguna dengan kadar diskaun eksklusif.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Pusat Panggilan TBA di talian 2244000 dan Pusat Panggilan TBK di talian, 2231100 atau melayari laman sesawang, www.takafulbrunei.com.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda