Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Takaful Brunei terima dua anugerah berprestij

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Takaful Brunei telah menerima dua pengiktirafan berprestij pada majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) ke-15 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
     
    Menurut kenyataan daripada Takaful Brunei, syarikat itu telah diiktiraf dengan Anugerah Kejuaraan GIFA (Takaful) 2025 manakala pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya, telah menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Takaful 2025.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang diiktiraf sebagai Pemenang Anugerah bagi tahun 2025.
     
    Menerima anugerah tersebut bagi pihak syarikat ialah Haji Shahrildin. Anugerah tersebut mengesah kepimpinan Takaful Brunei dalam menyediakan penyelesaian takaful patuh syariah yang inovatif dan bertumpu kepada pelanggan. Takaful Brunei telah mempelopori platform digital untuk meningkatkan kebolehcapaian, digambarkan oleh pelancaran aplikasi mudah alih Takaful Brunei pada tahun 2019. 
     
    Baru-baru ini, Takaful Brunei telah mengembangkan tawarannya untuk memasukkan penyelesaian perlindungan perubatan komprehensif yang disampaikan secara digital, membolehkan individu mendapatkan perlindungan dengan lebih mudah dan cekap. Ia mencerminkan komitmen syarikat untuk menyepadukan teknologi dengan kepercayaan untuk komuniti yang dilayaninya.
     
    Haji Shahrildin (dua kanan) semasa menerima anugerah tersebut. – GAMBAR SERAHAN TAKAFUL BRUNEI
    Dalam ucapannya, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengerusi Takaful Brunei, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berkata, “Alhamdulillah, Takaful Brunei bersyukur atas pencapaian anugerah yang penting ini dan amat menghargai sokongan daripada semua pihak berkepentingan dan pelanggan kami.
     
    “Takaful Brunei komited untuk meneruskan peranannya dalam landskap industri takaful dan insurans untuk memenuhi aspek perancangan kewangan yang berhemat dengan peluang perlindungan kewangan berkualiti tinggi.”
     
    Sementara itu, Haji Shahrildin dalam ucapannya berkata, “Alhamdulillah, bagi pihak Takaful Brunei, kami amat menghargai GIFA atas pengiktirafan Anugerah Kejohanan (Takaful) 2025.”
     
    “Anugerah tersebut menandakan pencapaian cemerlang seluruh pasukan Takaful Brunei dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kami. Kami berasa optimistik untuk masa depan yang mampan dan usaha kami untuk menjadi peneraju utama dalam perlindungan takaful.”
     
    GIFA diadakan setiap tahun untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam prestasi dan sumbangan penting kepada pembangunan industri perbankan dan kewangan Islam antarabangsa.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda