Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat akhiri Jerayawara Aplikasi ‘Islamic Mind’

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Rahwani Azahari

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Jerayawara Aplikasi ‘Islamic Mind’ berakhir hari ini dengan sesi taklimat yang berlangsung di Auditorium Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, di sini.

    Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit ICT, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Dayang Rosyanti binti Haji Lamat yang antara lain menerangkan mengenai sinopsis Rancangan Teknologi Digital 2018-2021.

    Beliau menyatakan mengenai peringkat dan fasa penggunaan teknologi digital di sekolah-sekolah Arab dan sekolah agama di seluruh negara yang bakal diimplementasikan dalam sedikit masa lagi.

    “Seramai 159 orang warga sekolah agama telah pun dilantik sebagai penyelaras ICT,” jelasnya.

    Salah satu perlaksanaan teknologi digital berperingkat-peringkat ini adalah penggunaan aplikasi ‘Islamic Mind’.

    Ketua Unit ICT, JPI ketika menerangkan mengenai sinopsis Rancangan Teknologi Digital 2018-2021.
    Antara yang hadir mendengarkan taklimat berkenaan.

    Di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mindplus Education Sdn Bhd, Pengiran Mohd Khairi bin Pengiran Haji Metusin telah menjelaskan beberapa fungsi yang terdapat dalam aplikasi tersebut.

    Antaranya adalah fasa pertama aplikasi yang dilancarkan pada 31 Julai lalu memiliki 50 topik video animasi Islam yang telah pun dipilih, ditapis dan diluluskan oleh Pusat Dakwah Islamiah.

    ‘Islamic Mind’ adalah khusus buat peranti-peranti mudah alih menggunakan platform Android dan iOS yang mana pembangunannya dibiayai Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Aplikasi ini disasarkan kepada pendidik (ibu bapa dan guru-guru) dan anak-anak dalam lingkungan umur empat hingga 12 tahun. Ia juga diharapkan sebagai alat bantu mengajar di sekolah-sekolah agama, sekolah swasta dan orang awam.

    ‘Islamic Mind’ juga telah mendapat sokongan daripada Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Pengajian Islam serta Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Sejak tiga bulan pelancaran aplikasi ini, kini penggunanya hampir 2,000 dan mereka berharap dengan jerayawara seperti itu akan dapat meningkatkan jumlah pengguna berdaftar kepada 15,000 dalam tempoh dua tahun mendatang.

    Untuk fasa kedua yang akan datang, sebanyak 700 topik video animasi Islam akan ditambah pada aplikasi ini yang telah dipilih oleh JPI.

    Pelan bagi fasa kedua ini juga adalah untuk membuat video animasi Islam dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Sejurus selepas pembentangan dan sesi soal jawab daripada Mindplus Education Sdn Bhd, demonstrasi dan praktikal aplikasi mengakhiri jerayawara yang telah berlangsung selama tiga hari.

    Antara yang hadir pada jerayawara tersebut ialah ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan; ketua Bahagian Sekolah Ugama; pegawai pengajian Islam Daerah Belait, Tutong, Temburong, kawasan Brunei I, IIA, IIB, III, IV; pegawai-pegawai dari JPI dan guru-guru besar serta penyelaras ICT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda