Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, telah mengambil inisiatif mengadakan taklimat motivasi bagi mahasiswa dan mahasiswi yang baharu melangkah ke alam universiti dalam membuat perancangan matlamat kehidupan mereka.
Acara yang diadakan di Auditorium UNISSA itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan taklimat Extreme Goal Setting yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Kemajuan Insan (KESAN), Awang Muhammad Najib bin Haji Latif.
Dalam taklimat tersebut, para pelajar dibimbing cara mengenal pasti permasalahan atau keperluan dalam mencapai matlamat mereka.
Taklimat turut menyentuh mengenai cara mudah dan lebih baik dalam membuat keputusan semasa merancang matlamat jangka masa panjang atau pendek serta kesannya pada masa hadapan.
Para pelajar juga berkesempatan untuk mengajukan beberapa soalan dan menyuarakan pandangan masing-masing sepanjang taklimat tersebut.