Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Taklimat berhubung pelaksanaan pengintegrasian bagi pemimpin sekolah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Bagi memberi penerangan lanjut kepada pihak sekolah mengenai penyerapan mata-mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum, sesi taklimat mengenai Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum telah diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Sesi taklimat dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan untuk pemimpin-pemimpin sekolah rendah kerajaan, swasta termasuk sekolah antarabangsa serta sekolah agama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, semasa sesi berkenaan, pemimpin-pemimpin sekolah berpeluang untuk mengajukan soalan-soalan berhubung pelaksanaan pengintegrasian.

    Ini termasuk penempatan guru-guru yang terlibat, penyediaan sukatan pelajaran dan penilaian serta penyediaan prasarana sekolah yang bersesuaian.

    Pengintegrasian berkenaan seperti yang telah dikongsikan dalam sidang media kelmarin, hanya akan melibatkan pelajar-pelajar yang sedang belajar di peringkat Pra sehingga Darjah 3 sekolah agama.

    Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin memberikan ucapan semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Antara pemimpin sekolah yang hadir semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Dalam hal itu, pelajar-pelajar tersebut akan mengikuti pendidikan agama mereka di sekolah rendah kerajaan, swasta dan antarabangsa masing-masing.

    Manakala itu, pelajar-pelajar yang belajar dalam Darjah 4 hingga 6 sekolah agama masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah agama seperti lazimnya.

    Dengan pelaksanaan pengintegrasian berkenaan, waktu persekolahan rendah sama ada kerajaan, swasta mahupun antarabangsa bagi pelajar-pelajar yang dimaksudkan akan berubah dan diselaraskan masanya bermula 7:30 pagi hingga 12 tengah hari dan 1.30 petang hingga 3 petang.

    Mata pelajaran agama yang diserapkan ke dalam jadual pendidikan umum akan diajar selama satu jam sehari.

    Pengintegrasian mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum itu akan mula dilaksanakan pada 1 November.

    Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap dari KHEU dan Kementerian Pendidikan serta ketua-ketua jabatan dari kedua-dua kementerian berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...