Taklimat beriga E-Undi PMKK

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Untuk menyebarluaskan lagi maklumat mengenai Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Daerah Temburong telah mengadakan taklimat pemberigaan khusus bagi ahli-ahli majlis perundingan dan penduduk Kampung Rataie dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Rataie yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, Temburong, kelmarin.

Sesi taklimat dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim sebelum sesi taklimat disampaikan oleh Ketua Bahagian Kuasa-kuasa Tempatan dan Perpaduan (Daerah), Dayang Jaimah binti Tuah.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga penghulu Mukim Zon 2, Daerah Temburong.

Taklimat berkenaan merupakan kesinambungan kepada sesi taklimat yang telah diadakan secara maya untuk penghulu mukim dan ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung sebelum ini.

Dengan adanya sesi taklimat berkenaan, penduduk kampung diharap akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara alternatif tambahan dan seterusnya memanfaatkan kaedah pengundian yang diperkenalkan itu untuk memilih calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung masing-masing yang telah dibukakan pengundiannya.

Sistem dan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK itu telah mula digunakan bagi Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Kapok, Mukim Serasa yang telah diadakan pada 12 Disember lalu.

Ia akan digunakan secara berterusan bagi majlis-majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu mukim dan ketua kampung di seluruh negara yang akan datang. 

Untuk itu, penduduk kampung disarankan supaya akan dapat mendaftar sebagai pengundi dengan menggunakan kaedah yang disediakan terutamanya bagi mukim dan kampung yang akan mengadakan majlis pengundian dan pemilihan calon dalam masa terdekat ini.

Ini termasuk bagi calon penghulu Mukim Lumapas, penghulu Mukim Mentiri dan ketua Kampung Rataie, Daerah Temburong.

Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak ketika menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi taklimat berkenaan.