Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1445 Hijrah akan diadakan serentak di seluruh negara pada 28 September bermula pukul 7 pagi.
Seperti lazimnya di Negara Brunei Darussalam, acara kemuncak sambutan di peringkat negara ialah perhimpunan dan perarakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Sehubungan itu, bagi melancarkan perhimpunan dan perarakan di peringkat negara, satu perjumpaan berhubung sambutan tersebut telah diadakan bersama wakil ketua-ketua pasukan yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini, perjumpaan dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadillah bin Haji Mohd Salleh selaku wakil peribadi Setiausaha Tetap, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1445 Hijrah.
Perjumpaan bermatlamat untuk memberikan taklimat berkenaan format perhimpunan dan perarakan kepada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian semasa perhimpunan itu nanti.
Beberapa agensi kerajaan yang memberikan taklimat adalah Jabatan Adat Istiadat Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkenaan.
Pada 2023, perhimpunan, perarakan dan perbarisan dibahagikan kepada lima kategori iaitu Pasukan Tidak Bernombor, Kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi/Maktab/Sekolah Menengah/Sekolah Arab/Sekolah Menengah Swasta, Kampung-kampung dan Masjid serta Persatuan/Sektor Swasta.
Menerusi taklimat itu, wakil ketua-ketua pasukan diharap dapat memberikan kerjasama dan sokongan padu bagi memastikan perhimpunan dan perarakan berjalan dengan lancar serta sempurna seperti yang dihasratkan.