Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Taklimat bincang keadaan El Nino

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ke-22 yang dihadiri oleh seramai 74 orang wakil dari agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai.

    Taklimat yang diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas pagi tadi itu memfokuskan pada keadaan cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi monsun timur laut yang akan bermula pada awal bulan ini dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2024 dan disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Kajicuaca BDMD, Awang Mohammad Affindi bin Haji Sabli.

    Selain daripada itu, taklimat cuaca kebangsaan kali ini juga membincangkan mengenai keadaan El Nino yang sedang berlaku di rantau ini pada masa ini, yang disampaikan oleh Pegawai Pengkajian dan Perkembangan BDMD, Dayang Zulfah Zuhairah binti Abdul Rani.

    Menurut beliau, Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengalami pengurangan aktiviti hujan dan penurunan jumlah turunan hujan dengan peningkatan suhu udara.

    Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi dijangka berlaku semasa kemuncak fenomena El Nino sekitar awal tahun 2024, terutama pada bulan Februari dan Mac 2024, iaitu dua bulan yang terkering bagi Negara Brunei Darussalam, berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak dan hubung kait dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada musim tengkujuh dan juga keadaan cuaca kering yang diramalkan berlaku pada bulan Februari dan Mac 2024.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Sehubungan itu, BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit jabatan iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.

    Pegawai dari BDMD semasa menyampaikan taklimat tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Antara yang menyertai taklimat yang diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...