Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat BizBelia perkasa pelajar UNISSA

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 150 pelajar UNISSA daripada pelbagai fakulti telah menghadiri Sesi Taklimat Skim Pembiayaan Mikro BizBelia bertempat di Auditorium, Kampus UNISSA Gadong, baru-baru ini.

    Sesi taklimat anjuran Pejabat Hab Keusahawanan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Alumni, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) itu telah disampaikan oleh Nor Nadia binti Jafri @ Darussalam, Client Relationship Manager dari Bank Usahawan Berhad.

    Pada sesi taklimat itu, Nor Nadia telah berkongsi maklumat terperinci mengenai kemudahan pembiayaan mikro yang ditawarkan di bawah Skim BizBelia, iaitu inisiatif bersama Bank Usahawan Berhad dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Nor Nadia telah berkongsi maklumat terperinci mengenai kemudahan pembiayaan mikro yang ditawarkan di bawah Skim BizBelia. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Program tersebut antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap pelbagai peluang pembiayaan dan sokongan kewangan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu mereka memulakan serta mengembangkan perniagaan baharu.

    Inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif, di samping memupuk nilai keusahawanan, tanggungjawab kewangan dan daya tahan dalam perniagaan.

    Melalui pendedahan seperti ini, pelajar bukan sahaja memperoleh maklumat mengenai skim BizBelia, malah turut memahami kepentingan perancangan kewangan, pengurusan risiko dan penyediaan rancangan perniagaan yang berkesan.

    Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi UNISSA untuk melahirkan graduan berjiwa keusahawanan, beretika dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus menyokong matlamat negara dalam memperkasa ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan keusahawanan yang mampan.

    GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Ketua Pejabat Hab Keusahawanan, Raihana binti Mohd Raffi, menyatakan penghargaan kepada Bank Usahawan Berhad atas sokongan berterusan dalam memperkasakan pelajar melalui pendedahan kepada kemudahan kewangan yang disediakan oleh kerajaan.

    Beliau menegaskan bahawa pelajar perlu peka terhadap situasi ekonomi semasa serta memanfaatkan skim pembiayaan yang sedia ada bagi menjayakan idea perniagaan yang inovatif dan mampan.

    Sesi taklimat turut membuka ruang interaktif bagi pelajar mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada wakil Bank Usahawan, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap proses permohonan, kriteria kelayakan dan pengurusan kewangan yang berhemah.

    Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pejabat Hab Keusahawanan dalam menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan di UNISSA melalui siri bengkel, mentoring, training dan partnership yang memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar sebagai usahawan muda Muslim sehingga mereka mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi ummah dan Wawasan Brunei 2035 melalui kerangka keusahawanan yang patuh syariah dan lestari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Rockets atasi Cavs