Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Dalam usaha meningkatkan kefahaman syarikat perniagaan mengenai skop percukaian di Negara Brunei Darussalam, Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, telah mengadakan Sesi Pembarigaan Cukai Pendapatan Korporat yang berlangsung di Bilik Serbaguna 2, Tingkat 3, Island Block, Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 11 Februari lalu.
Sesi itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kewajipan dan tanggungjawab syarikat-syarikat perniagaan ke atas pematuhan cukai pendapatan korporat.
Dalam taklimat berkenaan, pegawai dari Bahagian Hasil menjelaskan secara menyeluruh mengenai asas penaksiran cukai, pematuhan untuk pemfailan cukai dan perkiraan cukai selaras dengan Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35.
Sesi pembarigaan itu merupakan salah satu usaha berterusan daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam memperkukuhkan lagi tahap pematuhan cukai dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan cukai korporat kepada orang ramai terutama di kalangan pembayar cukai di negara ini.