BANDAR SERI BEAGAWAN, 20 NOV – Duta Besar Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy, telah menyampaikan taklimat mengenai Republik Turkiye, sistem pendidikan dan peluang biasiswa yang ditawarkan oleh pihak kerajaan Republik Turkiye di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong pagi tadi.
Sesi taklimat dihadiri oleh Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) Dr Andree Asmara bin Haji Abidin.
Pada akhir sesi taklimat, Pengetua Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Cikgu Tutty Hyrneeita binti Haji Abdul Latip telah menyampaikan cenderamata kepada Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy.

Sesi taklimat ini adalah merupakan inisiatif bersama pihak Kedutaan Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam dengan pihak Unit Pendidikan Kerjaya, Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, JSS susulan perjumpaan Oktober lalu.
Tujuan sesi taklimat adalah untuk mendedahkan peluang untuk melanjutkan pengajian ke Republik Turkiye melalui biasiswa kerajaan negara berkenaan kepada para pelajar dan pendidik di pusat tingkatan enam di Negara Brunei Darussalam. Dengan taklimat berkenaan, diharapkan agar lebih ramai pelajar Brunei menerokai peluang untuk melanjutkan pengajian ke Negara Republik Turkiye dalam masa yang terdekat.
Sebelum ini, pihak Kedutaan Republik Turkiye pernah menyampaikan beberapa sesi taklimat di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Pusat Tingkatan Enam Tutong dan Pusat Tingkatan Enam Belait pada 6 hingga 20 November lalu.
Perancangan seterusnya bagi tahun 2026 ialah bagi pihak Kedutaan Republik Turkiye untuk menyampaikan taklimat kepada para pemimpin sekolah menengah dan maktab kerajaan beserta para guru pendidikan kerjaya seluruh negara.

