Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat fahami elemen, petunjuk jenayah pemerdagangan orang

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan orang khususnya kepada pegawai-pegawai penyiasat kes jenayah di balai-balai polis daerah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, hari ini, seramai 81 pegawai dan anggota terdiri daripada penyiasat-penyiasat dari balai-balai Daerah Polis Brunei dan Muara telah menghadiri taklimat yang didakan di Dewan Serba guna Balai Polis Berakas, kelmarin.

    Taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang selama empat hari bermula 13, 14, 16 dan 18 November ke seluruh daerah polis bertujuan untuk mengetahui dan memahami secara lebih terperinci elemen-elemen dan petunjuk-petunjuk dalam penyiasatan jenayah pemerdagangan orang kepada polis di barisan hadapan khususnya bagi pegawai-pegawai kes jenayah.

    Antara perkara yang dibentangkan dalam taklimat berkenaan ialah elemen-elemen pemerdagangan orang dan indikasi yang menjurus kepada siasatan jenayah pemerdagangan orang.

    Taklimat yang mengandungi tentang Penyiasatan Jenayah Pemerdagangan Orang telah disampaikan oleh Ketua USPM, Timbalan Penguasa Polis, Hajah Anis @ Roszaffina binti Haji Ahmad.

    Turut dibentangkan adalah menumpukan kepada soalan-soalan mengenai elemen dan petunjuk jenayah pemerdagangan orang bagi siasatan awal di balai polis seperti adakah mangsa direkrut secara buruh paksa atau dieksploitasi secara seksual, disekat kebebasannya untuk berjalan atau berhubung dengan sesiapa, adakah mangsa dijadikan seperti perhambaan seks, dijual atau diperhambakan oleh sesiapa, adakah mangsa berumur di bawah 18 tahun dan terlibat dalam aktiviti pelacuran, adakah dokumen pengenalan mangsa dirampas serta adakah keluarga mangsa diancam dengan kemudaratan jika mangsa melarikan diri.

    Pembentangan itu menegaskan komitmen PPDB untuk meningkatkan keupayaan siasatan dalam memerangi pemerdagangan manusia.

    Dengan membekalkan penyiasat dengan teknik-teknik lanjutan, strategi kolaboratif dan pemahaman yang mendalam mengenai kerumitan pemerdaga-ngan manusia, pihak polis berhasrat untuk memperkukuhkan usaha melindungi individu yang terdedah dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

    Inisiatif itu mengukuhkan dedikasi pasukan polis dalam menangani isu kritikal berkenaan, memupuk kerjasama antara agensi dan memastikan kesejahteraan masyarakat.

    Hajah Anis @ Roszaffina semasa menyampaikan taklimat tersebut. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Antara anggota PPDB semasa mendengarkan taklimat yang disampaikan. – GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda