Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat Hotel Town Hall untuk premis penginapan pelancong

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Lebih 30 wakil premis penginapan pelancong yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) kelmarin telah menghadiri taklimat Hotel Town Hall yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan.

    Taklimat tersebut menekankan kepentingan memperbaharui pendaftaran premis bagi memastikan pematuhan piawaian peraturan, di samping itu keperluan utama yang ditekankan termasuk kesahihan peralatan keselamatan dan pensijilan serta pertolongan cemas.

    Pada sesi taklimat itu, semua premis diingatkan tentang kewajipan undang-undang untuk mendaftar bagi yang baharu dan memperbaharui bagi premis penginapan yang sedia ada dengan segera.

    Langkah ini bukan sahaja memastikan pematuhan undang-undang, tetapi juga menyumbang kepada standard keselamatan dan kualiti yang diharapkan oleh pelawat.

    Dalam perkara ini, jabatan menegaskan dan mengingatkan semua pemilik premis penginapan pelancong yang sedia ada dan akan datang untuk memastikan premis mereka didaftarkan seperti yang diamanatkan oleh Seksyen 30 Akta Pelancongan, Bab 239.

    Seksyen ini menyatakan mana-mana individu mengendalikan premis untuk penginapan pelancong mesti mendaftarkan dengan sewajarnya, dan jika gagal bagi mematuhi, individu boleh dikenakan denda sehingga $5,000, penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 45 Akta Pelancongan, Bab 239.

    Sehingga hari ini, sebanyak 59 buah premis penginapan pelancongan yang berdaftar di bawah JKP, yang mana 26 buah hotel adalah ahli Persatuan Hotel Brunei (BAH).

    Pada sesi taklimat itu, taklimat dari BAH turut menggariskan usaha bagi memperkukuh industri perhotelan melalui pelbagai peranan dan inisiatif.

    Pengusaha hotel juga digalakkan untuk menyertai sebagai ahli bagi mengukuhkan perpaduan dan advokasi dalam industri. Selain itu, JKP turut mengongsikan Kalendar Acara 2024 untuk memastikan hotel mengetahui aktiviti akan datang yang akan berlangsung di seluruh negara.

    Antara yang hadir semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JKP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda