Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Seramai 23 orang pegawai dan tenaga pengajar yang baru berkhidmat di Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menghadiri Taklimat Induksi bagi Pegawai-pegawai Bergaji Hari JPI Tahun 2018 yang akan berlangsung selama 10 hari bekerja bermula hari ini.
Majlis perasmiannya telah diadakan petang tadi di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), JPI, KHEU, Haji Rusli bin Haji Mohd Salleh.
Dalam ucapan alu-aluannya di majlis itu, Haji Rusli antara lain menekankan bahawa profesionalisme perguruan merupakan satu aspek terpenting dalam diri seorang guru selaku berperanan sebagai jentera penggerak di JPI, bukan sahaja dalam bidang pendidikan agama bahkan juga mendorong dasar kerajaan bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan rakyat iaitu salah satu daripada lapan strategi yang terkandung dalam Wawasan Negara 2035.
“Diharap para peserta akan dapat memberi tumpuan, fokus, perhatian, komitmen dan kerjasama yang padu bagi mencapai objektif dan tujuan program induksi tersebut,” tambah beliau lagi.
Sepanjang taklimat induksi berkenaan, ia diadakan dalam dua sesi, sesi pagi dari jam 9 pagi hingga 11:30 pagi dan sesi petang pula bermula jam 2:15 petang hingga 4:15 petang yang akan diadakan di Auditorium 1, Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Majlis perasmiannya turut dimuatkan dengan sesi taklimat mengenai struktur, misi dan visi JPI, diikuti dengan taklimat mengenai hal ehwal persuratan, proses permohonan kebenaran dan pengesahan pegawai dan kakitangan yang sedang berkhidmat yang disampaikan oleh dua orang pegawai dari JPI.
Taklimat induksi anjuran JPI dengan dikendalikan bersama Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa di JPI itu bertujuan sebagai langkah menyediakan pegawai atau tenaga pengajar baru dalam mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan am perkhidmatan awam, faedah-feadah di dalam perkhidmatan dan sebagainya.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membimbing pegawai dan tenaga pengajar baru dalam memahami dengan lebih jelas tentang misi, visi, fungsi dan peranan jabatan, serta untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang jelas dengan profesionalisme seorang guru dalam mendukung Wawasan Negara 2035 khususnya dalam pendidikan.
Taklimat juga diadakan agar semua pegawai dan tenaga pengajar baru sentiasa mematuhi setiap peraturan dan arahan yang telah digaris pandukan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta memahami dengan lebih jelas tentang perkara-perkara berkaitan dengan peraturan warga perkhidmatan awam.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mendokong matlamat jabatan dalam melahirkan pelajar yang kukuh akidahnya, berkepandaian dan berakhlak mulia melalui pendidikan Islam yang bersistem, berkualiti dan mantap bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Pegawai dan tenaga pengajar yang baru berkhidmat di JPI tersebut merupakan graduan lepasan dari Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Iskandariah Mesir, Universiti Jordan, University of Leeds, Sussex University, Queen University Belfast, University of Glasgow, University of Bath, University of Birmingham, University of Queensland Australia dan University of Essex.