Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat JBBSB terap konsep kebersihan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Dengan hasrat untuk menerapkan konsep kebersihan dalam Islam dan menjunjung konsep patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) telah mengadakan Program Taklimat Kesedaran Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30, Pindaan 2021 bagi 2023 di sekolah-sekolah rendah terpilih di kawasan Bandar Seri Begawan dan Daerah Brunei dan Muara pada 4 Julai lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, taklimat berkenaan disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, JBBSB di Sekolah Rendah Amar Pahlawan.

    Sekolah berkenaan merupakan sekolah ke-14 dalam kluster kawasan Bandar Seri Begawan yang mengikuti program itu yang diadakan semenjak 2021.

    Program itu juga dihasratkan untuk menerapkan akan pentingnya tanggungjawab menjaga kebersihan yang didukung oleh semua peringkat masyarakat termasuk murid-murid sekolah sebagai tanggungjawab bernegara.

    Ia bermatlamat untuk mendidik masyarakat dari peringkat umur seawal tujuh tahun ke atas dalam sama-sama memainkan peranan penting bagi mempertahankan dan mengekalkan usaha-usaha kebersihan melalui wadah pendidikan, pengajaran dan tatacara kebersihan yang sewajarnya.

    Salah seorang pelajar menerima hadiah setelah mengikuti aktiviti yang diadakan. – Gambar serahan JBBSB
    Antara pelajar menyertai aktiviti yang disediakan semasa program berkenaan. – Gambar serahan JBBSB

    Program itu diharap akan dapat menyumbang dan melahirkan generasi yang cintakan kebersihan, bertanggungjawab dan berdisiplin dalam sama-sama menjaga kebersihan di Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang.

    Selain itu, ia juga selaras dengan misi dalam mewujudkan kebersihan melalui peringkat awal pendidikan.

    Semasa program berkenaan, beberapa aktiviti interaktif telah diadakan di mana ia mendisiplinkan diri pelajar dan pendekatan pencambahan minda berkaitan tema kebersihan bagi menerapkan budaya cintakan kebersihan dari peringkat awal usia lagi.

    JBBSB yakin dan berharap supaya program seumpama itu akan dapat membawa misi Brunei Bersih secara meluas, serta berharap ia akan memberi impak kepada orang ramai terutama sekali para pelajar.

    Pada masa yang sama, jabatan itu turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi sebarang aduan dan perkongsian maklumat ke talian e-Darussalam 123, e-mel Info@123.gov.bn, laman sesawang www.123.gov.bn, WhatsApp di talian 8333123 atau Hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di talian 7291122.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda