Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat jelaskan petunjuk jenayah pemerdagangan orang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang atau Trafficking in Persons yang dianjurkan oleh, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah diadakan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan pagi tadi.

    Objektif utama taklimat berkenaan adalah untuk memberikan pengetahuan yang lebih mendalam serta pemahaman terperinci kepada para peserta mengenai cara-cara mengenal pasti elemen-elemen dan petunjuk berkaitan mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang, khususnya di hotel-hotel di Negara Brunei Darussalam.

    Taklimat berkenaan yang diadakan sejak kelmarin diadakan dalam dua sesi, iaitu pada sebelah pagi kepada 15 peserta di Mulia Hotel, Kampung Anggerek Desa dan pada sebelah petang kepada 110 peserta di The Rizqun International Hotel, Gadong.

    Antara pengisian taklimat termasuk penerangan mengenai fungsi dan peranan USPM serta perkongsian kajian kes bagi kes-kes pemerdagangan orang yang telah berjaya disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Kes-kes ini menepati semua petunjuk dan unsur jenayah pemerdagangan orang sejak penubuhan unit berkenaan pada 16 Ogos 2011.

    Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh pegawai dan anggota USPM yang berpengalaman dalam penyiasatan kes-kes berkaitan.

    Melalui penganjuran taklimat berkenaan, USPM berharap agar ia dapat meningkatkan kepekaan dan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dalam mengenal pasti serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan, sejajar dengan usaha negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

    Taklimat berkenaan yang dijalankan pagi tadi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda