Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Dalam usaha meningkatkan ketaatsetiaan terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini.
Berangkat sama menghadiri program berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Seramai 50 orang penuntut Tahun 7 dari sekolah berkenaan hadir mendengarkan taklimat tersebut. Juga hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah, Richard Bourbon dan tenaga pengajar sekolah.
Semasa program itu, Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Beliau antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan.’
Pada taklimat tersebut para penuntut menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara menaikkan Bendera Negara’ serta klip video aplikasi mudah alih ‘InfoDeptBN’.
Para penuntut juga berpeluang menyertai Kuiz yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaran dan penyampaian cenderahati kepada sekolah tersebut yang berkenan diterima oleh DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel selaku wakil sekolah berkenaan.
Program ini adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.
Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan setakat ini telah mengendalikan Taklimat Kenegaraan berkenaan di 33 buah sekolah menengah kerajaan dan swasta di Daerah Brunei dan Muara bagi pelajar Tahun 7.