Oleh Salawati Haji Yahya
KUALA BELAIT, 11 NOV – Seramai 124 orang penuntut Tahun 7, 8 dan 9 dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), Kuala Belait, kelmarin, telah menghadiri Program Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah.
Turut hadir, Timbalan Pengetua, Dayang Hajah Jumimah binti Haji Jumat serta para tenaga pengajar.

Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Muhd. Khairulhadi bin Haji Muhd. Muhtaddir yang antara lain menyentuh mengenai Raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera’ dan berpeluang menyertai kuiz kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap Raja, agama, bangsa dan negara.
Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.




