BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, meneruskan lagi program Taklimat Kenegaraan dengan berkunjung ke Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Seramai 171 pelajar Tingkatan 6 Bawah menghadiri taklimat yang diadakan di auditorium maktab berkenaan. Turut hadir, Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar (Unit Tingkatan Enam), Cikgu Ani Suryani binti Haji Bahe dan para tenaga pengajar maktab tersebut.
Program ini antaranya bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara di samping menyuntik semangat patriotisme dalam diri para pelajar melalui taklimat yang disampaikan. Program ini juga dihasratkan bagi mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 dan inisiatif dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.
Taklimat bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.
Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.
Semua di atas: Antara suasana semasa taklimat berlangsung. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN