Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan yang berlangsung di Perpustakaan, Sekolah Menengah Lambak Kiri, hari ini.
Taklimat yang mengetengahkan mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat dalam menghayati lagu kebangsaan dan bendera negara itu dihadiri oleh kira-kira 140 orang pelajar Tahun 7 sekolah berkenaan serta Pengetua sekolah, Hajah Sarifah binti Haji Matsawali, guru-guru, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Pada program berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Awang Mohd Nurakram bin Noraini@Bahrin, yang menjelaskan mengenai sejarah, definisi, peranan bendera negara dan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan.

Program yang merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri itu adalah dihasratkan untuk menyemai perasaan cintakan bangsa, agama, raja dan negara di samping mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para pelajar melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.
Selain itu, ia juga bermatlamat untuk mengoptimumkan penghayatan dan pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama yang berdasarkan falsafah negara, Melayu Islam Beraja serta memapankan usaha-usaha yang sedia ada dalam menggalakkan para pelajar untuk menghormati dan menjiwai bendera negara dan lagu kebangsaan.