BELAIT, 10 FEB – Seramai 89 penuntut Tahun 7 Sekolah Arab Belait menyertai Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah. Taklimat yang diadakan di surau sekolah berkenaan dihadiri oleh Timbalan Guru Besar selaku Pemangku Guru Besar Sekolah Arab Belait, Haji Mohammad Roselyzan bin Haji Sipin dan juga para tenaga pengajar.
Taklimat itu disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Muhd Khairulhadi bin Haji Muhd Muhtaddir dan Pegawai Luar Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi Tatacara Menaikkan Bendera dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Semua di atas: Suasana semasa taklimat berkenaan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/TK-Sekolah-Arab-Belait-4.jpg)
Haji Mohammad Roselyzan menyampaikan hadiah kepada antara pelajar yang memenangi kuiz.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/TK-Sekolah-Arab-Belait-9.jpg)