Friday, January 31, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat Kenegaraan diteruskan ke Kuala Belait

    Oleh Sim Y. H.

    KUALA BELAIT, 31 JAN – Sebagai usaha berterusan untuk menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara khususnya di kalangan penuntut sekolah, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah meneruskan Program Taklimat Kenegaraan, Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan berkunjung ke Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, di sini, menyatakan taklimat yang diadakan di bilik perpustakaan sekolah berkenaan, telah menyaksikan penyertaan seramai 102 penuntut Tahun 7 sekolah berkenaan.

    Turut hadir semasa program berkenaan ialah Timbalan Pengetua sekolah, Dayang Hajah Jumimah binti Haji Jumat serta para tenaga pengajar yang lain.

    Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Muhd Khairulhadi bin Haji Muhd Muhtaddir dan Pegawai Luar Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa yang mana antara lain beliau menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan.

    Selain daripada itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi Tatacara Menaikkan Bendera dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.

    Program itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

    Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.

     Antara aktiviti semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda