Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 27 Feb – Kira-kira 30 pelajar Tahun 7 dan guru-guru Sekolah St James telah menghadiri Program Taklimat Kenegaraan bertajuk ‘Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Cawangan Penerangan Daerah Belait, hari ini.
Program tersebut yang juga diadakan di beberapa buah sekolah bukan kerajaan di daerah ini, merupakan salah satu usaha bagi menyemai semangat patriotisme kepada kalangan pelajar dan juga untuk memberikan kesedaran dalam menghormati dan menjiwai lagu kebangsaan negara serta bendera negara.
Sehubungan itu, taklimat berkenaan telah menyentuh tentang tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris, selaku Ketua Cawangan Penerangan Kuala Belait.
Majlis tersebut turut dimuatkan dengan tayangan klip video, ‘Kibarkan Dengan Megah Bendera Negara’ dan juga video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’.
Di samping itu, para pelajar juga turut berpeluang untuk menyertai Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dengan menyediakan hadiah-hadiah kepada pemenangnya. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengetua Sekolah St James, Haji Muhd Masa Masdi bin Haji Sa’idun.