Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seramai 79 penuntut Tahun 7 menyertai Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah.
Taklimat yang diadakan di Dewan Auditorium Sekolah Menengah Chung Hwa, Kuala Belait berkenaan dihadiri oleh Timbalan Pengetua Sekolah, Valarie Kong Yun dan juga para tenaga pengajar.
Taklimat yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Kenegaraan di Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris antara lain menyentuh mengenai Raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi Tatacara Menaikkan Bendera dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap Raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.