BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, meneruskan lagi program Taklimat Kenegaraan untuk para penuntut di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pusat Tingkatan Enam dengan berkunjung ke IBTE Kampus Mekanikal, Tungku baru-baru ini.
Taklimat yang diadakan di Dewan Kuliah kampus berkenaan dihadiri oleh 70 penuntut. Turut hadir ialah Ketua Sekolah, Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Pusat, IBTE, Awang Anwar Syuwari bin Haji Mohd Idris dan para tenaga pengajar kampus tersebut.
Antara tujuan program itu diadakan ialah untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara di samping menyuntik semangat patriotisme dalam diri para penuntut melalui taklimat yang disampaikan. Selain itu, program itu juga dihasratkan untuk mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 serta inisiatif di bawah Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035.
Taklimat bertajuk Peranan dan Tanggungjawab sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.
Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.
Semua di atas: Antara suasana semasa taklimat tersebut.- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

