BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Program Taklimat Kenegaraan, Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah diadakan hari ini di Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (Bahagian Menengah), cawangan Mata-mata.
Menurut kenyataan, program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik itu adalah sebagai salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Taklimat bagi pelajar Tahun 7 seramai 93 orang telah itu telah berlangsung di Dewan 1 dan disampaikan oleh Pemangku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Manakala, sesi taklimat yang sama bagi penuntut Tahun 7 seramai 59 orang telah diadakan di Dewan 2 dan disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Awang Mohammad Khaiddir Shah bin Haji Abdul Halim.
Turut hadir Pengetua sekolah, Dayang Gazala binti Abdullah, Ketua Jabatan Bahasa Melayu dan MIB, Dayang Nurul Hayatul Nikmah binti Rosli serta para tenaga pengajar.