Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini, telah mengadakan Careers Carousel dengan menjemput pakar-pakar dari pelbagai bidang profesional untuk berjumpa dan menyampaikan taklimat kepada lebih 300 orang pelajar Tahun 11 sekolah berkenaan.
Acara tahunan itu dihadiri para pelajar dalam lingkungan usia 15 hingga 17 tahun yang baru saja menduduki IGCSEs atau baru saja menamatkan ‘A’ Level dan Pendidikan IB Diploma.
Para pelajar berkenaan dijemput untuk memilih dua taklimat yang ingin diikuti dari pelbagai bidang dan tajuk yang ditawarkan.
Acara mengetengahkan lebih 40 taklimat dengan kira-kira 60 orang jurucakap yang menyampaikan pembentangan mereka dan membincangkan mengenai kerjaya masing-masing.
Antara aspek istimewa adalah kehadiran beberapa orang alumni JIS Brunei yang kembali ke sekolah berkenaan sebagai penceramah.
Setiap perbincangan termasuk sesi soal jawab memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui lebih lanjut dengan mendapatkan jawapan daripada penceramah-penceramah berkenaan.
Tahap akses ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperoleh banyak maklumat mengenai kerjaya yang bakal dipilih oleh mereka.
Dengan ini juga, ramai pelajar menggunakan peluang berkenaan untuk berangkaian dengan para profesional untuk mengatur penempatan kerja mereka nanti.
Antara jurucakap yang menyertai pada acara tahun ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum yang mengetengahkan topik ‘Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi’ manakala Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain, Ben Boddy juga membawakan topik yang sama.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Brunei Darussalam yang juga wakil dari KPMG, Awang Shazali Sulaiman pula memperkatakan mengenai kerjaya dalam perakaunan.
Para Alumni dari JIS pula terdiri daripada Shinny Chai dari The Collective pula memperkatakan mengenai industri seni dan kreatif diikuti dengan Awang Zakwan Kamarulzaman yang membincangkan mengenai Sains Alam Sekitar dan Dayang Aimi Ramlee dari Tyne Solutions yang mengetengahkan topik Keusahawanan Perdagangan.
Peguam dan Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Keadilan Jenayah, Jabatan Peguam Negara, Awang Aminudin Zaki bin Dato Abdul Rahman bersama Dayang Azmeena bin Mohidin dan serta Awang Qamarul Affiyian Rahman pula mengutarakan mengenai undang-undang.
Dalam tajuk Ekonomi pula mengetengahkan Pengurus Ekonomi, Unit Ekonomi dan Statistik Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Jason Kok.
Acara Careers Carousel tahun ini buat pertama kalinya juga melibatkan banyak wakil kerjaya lain seperti pemasaran, Biologi Marin, ICT dan neurosains.
Acara berkenaan adalah sebahagian daripada usaha JIS untuk mempersiapkan para para pelajarnya menghadapi dunia pendidikan tinggi dan kerjaya.