Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat ketahui simptom kesihatan mental

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Dengan matlamat untuk memberikan pendedahan mengenai kesihatan mental dan maklumat mendapatkan pertolongan jika diperlukan, Syarikat VAM BRN Sdn Bhd telah mengadakan acara Kesedaran Kesihatan Mental bagi kakitangannya dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan.

    Acara sehari yang diadakan di Premis VAM BRN di Taman Perindustrian Salambigar itu dihadiri oleh lebih kurang 60 orang kakitangan syarikat tersebut serta pegawai-pegawai kanan syarikat.

    Pada acara itu, taklimat menyentuh beberapa perkara mengenai isu kesihatan mental yang merupakan isu penting untuk ditangani di peringkat awal dan kakitangan harus mengenali tanda-tanda dan simptom kesihatan mental serta mengetahui bila dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan jika memerlukan.

    Taklimat juga menyentuh mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit yang juga boleh menyebabkan individu itu mengalami masalah kesihatan mental.

    Acara juga memaparkan poster-poster kesedaran kesihatan mental dan maklumat mengenai perkhidmatan psikiatri serta talian bantuan kesihatan mental kebangsaan iaitu Talian Harapan 145.

    Sesi taklimat telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dari HPC iaitu Pegawai Saintifik, Dr Siti Nur Hassanah binti Haji Hasnah, Pegawai Psikologi, Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah dan Pegawai Perubatan, Pengiran Dr Nurasiah binti Pengiran Omar.

    Taklimat berkenaan diakhiri dengan sesi soal dan jawab daripada kakitangan VAM BRN.

    Pegawai dari HPC menyampaikan taklimat kepada kakitangan syarikat.
    Antara yang menghadiri taklimat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda