Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat khas tangani isu pemerdagangan manusia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Enam orang pegawai telah menyertai taklimat khas yang dianjurkan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi memperkukuh kesedaran dan kefahaman mengenai jenayah pemerdagangan orang.

    Taklimat yang diadakan di The Empire Brunei itu bertujuan membekalkan maklumat komprehensif kepada para pegawai dalam mengenal pasti indikasi atau tanda-tanda mangsa pemerdagangan manusia, serta langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan situasi sebenar.

    Antara kandungan yang disampaikan termasuklah penerangan tentang elemen-elemen jenayah pemerdagangan orang, perkongsian kes-kes penting yang berjaya didakwa di mahkamah, serta latihan berbentuk kajian kes daripada siasatan sebenar USPM.

    Taklimat juga turut mengetengahkan pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh unit tersebut sejak penubuhannya pada 16 Ogos 2011, dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia di negara ini.

    Sesi berkenaan telah disampaikan oleh DSP Hajah Anis Roszaffina binti Haji Ahmad@Mohd Ariffin, bersama pegawai-pegawai dari USPM.

    PPDB menekankan bahawa kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dan masyarakat amat penting dalam usaha membanteras kegiatan pemerdagangan orang.

    Program berkenaan diyakini dapat memperkasa peranan semua pihak dalam mencegah dan mengesan jenayah ini secara menyeluruh.

    Sekitar suasana taklimat khas bagi acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Sesi bergambar ramai antara pembengkel dan peserta taklimat di The Empire Brunei, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda