Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat kongsi kerjaya sebagai anggota ABDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Alumni melalui Persatuan Alumni telah mengadakan Lawatan Kerjaya: Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) baru-baru ini.

    Seramai 62 orang peserta terdiri daripada alumni, mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir UNISSA telah mengikuti lawatan kerjaya itu.

    Ia diadakan secara dua sesi di mana sesi pertama dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai Sekolah Pegawai Kadet dan taklimat kerjaya tentera di ABDB yang disampaikan oleh dua orang pegawai dari ABDB.

    Taklimat itu diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada peserta untuk mengajukan soalan dan mendapat maklumat lanjut mengenai kerjaya tentera.

    Manakala sesi kedua melibatkan aktiviti Command and Task yang diatur oleh pihak ABDB.

    Aktiviti ini memberikan peserta peluang untuk terlibat dalam tugasan dan cabaran yang berkaitan dengan kepimpinan dan kerja berpasukan, memberikan mereka pengalaman praktikal mengenai aspek-aspek tertentu dalam kerjaya tentera.

    Lawatan itu bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada peluang kerjaya dalam ABDB dan memberikan mereka gambaran realistik mengenai kehidupan serta tanggungjawab dalam bidang ketenteraan. Selain itu, aktiviti Command and Task yang diadakan bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan peserta, sambil meningkatkan minat mereka terhadap kerjaya tentera.

    Bengkel diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada wakil yang disampaikan oleh Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni, Dr Norasiah binti Haji Amai.

    Hasil lawatan kerjaya itu diharapkan dapat memberikan peserta pemahaman yang lebih mendalam tentang kerjaya dalam ABDB, serta memberikan mereka motivasi untuk mempertimbangkan bidang ketenteraan sebagai pilihan kerjaya.

    Para peserta bergambar ramai semasa lawatan kerjaya berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda