Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sebagai usaha berterusan untuk menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan, Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong, kelmarin.
Program berkenaan dihadiri oleh seramai 143 orang penuntut sekolah berkenaan. Turut hadir ialah Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, Awang Hussin bin Haji Ismail dan para tenaga pengajar.
Pada program itu, taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Hubungan Masyarakat, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sallehuddin selaku Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Jabatan Penerangan.
Dalam taklimatnya, beliau menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara iaitu hendaklah memastikan bendera negara berada dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi, Tatacara Menaikkan Bendera dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai taklimat yang disampaikan.
Program itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.