Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat pastikan kelancaran perjalanan bakal jemaah haji

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) selaku syarikat pengendali pakej haji utama di Negara Brunei Darussalam, hari ini mengadakan Majlis Taklimat Pengurusan dan Perkhidmatan Pakej Haji bagi bakal Jemaah Haji Pakej DSSB bagi musim Haji 1445H / 2024M di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di ibu negara.

    Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed dan Penolong Pengurus Am, Jabatan Haji dan Umrah, DSSB, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar.

    Sesi taklimat dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi pertama mengenai beberapa maklumat persiapan sebelum keberangkatan, aktiviti dan perkhidmatan yang akan diberikan sepanjang berada di tanah suci nanti, manakala sesi kedua ialah maklumat persiapan hari wukuf di Arafah seterusnya balik ke Negara Brunei Darussalam.

    Taklimat juga diselitkan dengan tayangan video pengurusan haji DSSB di tanah suci. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Jabatan Haji dan Umrah, DSSB, Haji Ahamad Fadhli bin Haji Damit.

    Bagi musim haji tahun ini, daripada 1,000 kuota yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, seramai 619 bakal jemaah mengikuti tiga pakej DSSB iaitu Pakej Delima (Premium), Pakej Safira (Sederhana) dan Pakej Zamrud (Ekonomi) berserta 16 orang pegawai.

    Pada tahun ini, DSSB memberikan cenderahati berupa bagasi dan berbagai-bagai barangan serta buku panduan kepada setiap bakal jemaah haji, sebahagian cenderahati diagihkan selepas taklimat.

    Bagi memastikan persiapan pengurusan teratur dan berjalan lancar sebelum ketibaan jemaah haji, empat orang pegawai DSSB diketuai oleh Haji Mahmud selaku Pengarah Urusan DHSB, akan bertolak ke Arab Saudi esok.

    Taklimat-taklimat pada majlis itu disampaikan oleh Haji Mahmud dan Pengiran Haji Ibrahim. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara bakal jemaah haji pakej DSSB yang hadir di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di ibu negara, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda