Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengadakan sesi pemberigaan School Assessed Marks (SAM) secara maya kepada pemimpin-pemimpin sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, sesi tersebut merupakan kesinambungan daripada sesi pertama yang telah diadakan pada 11 Oktober lalu.
Sesi kedua berkenaan dibahagikan kepada dua iaitu sesi pagi melibatkan pemimpin sekolah rendah kerajaan sementara sesi petang pula melibatkan pemimpin sekolah rendah swasta dan di bawah kawalan KHEU. Antara lain tujuan sesi tersebut adalah untuk memperkukuhkan kefahaman mengenai penilaian SAM serta memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengutarakan sebarang persoalan berbangkit mengenai penilaian SAM.
Manakala itu, taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Siti Noor Roziah binti Pengiran Haji Matjinen.
Sesi pemberigaan SAM secara maya itu turut dihadiri oleh ketua-ketua kluster dari Jabatan Sekolah-Sekolah semasa sesi pagi sementara sesi petang dihadiri oleh ketua Jabatan Pendidikan Swasta, pemangku penolong pengarah Jabatan Pengajian Islam dan ketua Bahagian Sekolah Arab.
