Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) selaku pengendali pakej haji terkenal di negara ini, hari ini, telah mengadakan taklimat bagi bakal jemaah haji musim haji tahun ini yang berdaftar dengan syarikat berkenaan.
Majlis berkenaan berlangsung di Serambi Suluh Kesenian, Bangunan Pusat Kesenian di ibu negara di mana taklimat memfokuskan kepada persiapan bakal jemaah haji sebelum berlepas ke tanah suci Mekah dan lainnya. Taklimat disampaikan oleh ahli-ahli panel termasuk Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed selaku ketua rombongan.
Turut menyampaikan taklimat ialah Ketua Jabatan Haji dan Umrah Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar, Pegawai Agama DHSB, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Rahman dan Pegawai Agama DHSB, Hajah Zaleha binti Haji Ibrahim.
Pada musim haji tahun ini, seramai 785 orang bakal jemaah haji menggunakan DHSB sebagai pengendali mereka tahun ini daripada kuota 1,000 yang ditetapkan bagi Brunei. DHSB, pada tahun ini, juga menawarkan tiga pakej haji iaitu Delima, Safira dan Zamrud.
Empat penerbangan khas haji bagi Brunei Darussalam akan membawa bakal jemaah ke Arab Saudi nanti dengan penerbangan pertama dijangka berlepas ke Madinah pada 18 Julai.
Pada sesi taklimat itu, bakal jemaah haji yang mengikuti pakej DHSB juga diberikan penerangan mengenai tarikh untuk mendapatkan cenderahati mereka di ibu pejabat DHSB di Airport Mall Berakas.
Untuk memastikan persiapan berjalan dengan lancar, dua pegawai dari DHSB termasuk Haji Mahmud dijangka berlepas ke Arab Sudi pada 8 Julai bagi memastikan persiapan berjalan lancar sebelum ketibaan bakal jemaah Negara.
