BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Seramai 155 penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah Masin menghadiri Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Taklimat turut disertai oleh pengetua sekolah berkenaan, Hajah Norwen binti Haji Brahim, dan para tenaga pengajar.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik dan disampaikan oleh Pemangku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris, yang antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaikkibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan.
Selain itu, para penuntut juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/P4-Baharu_07012025.jpg)