Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat tangani pemerdagangan orang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seramai 31 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan anggota pangkat rendah Polis Lapangan Terbang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyertai taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang, baru-baru ini.

    Taklimat berkenaan dianjurkan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), PPDB sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kesedaran serta memperkukuhkan keupayaan petugas barisan hadapan dalam mengesan dan menangani elemen-elemen pemerdagangan orang.

    Pegawai dan anggota dari USPM semasa menyampaikan taklimat. – Gambar serahan PPDB

    Objektif utama taklimat adalah untuk memberikan pengetahuan yang lebih mendalam kepada peserta berkenaan indikasi mangsa yang berpotensi menjadi sasaran sindiket jenayah pemerdagangan manusia.

    Antara pengisian utama taklimat termasuk Penerangan mengenai fungsi dan peranan USPM, perkongsian kajian kes membabitkan kes pemerdagangan orang yang berjaya dibuktikan di mahkamah dan langkah-langkah pengesanan awal terhadap potensi mangsa dan pelaku jenayah tersebut.

    Antara yang hadir semasa taklimat berkenaan. – Gambar serahan PPDB

    Taklimat telah disampaikan oleh pegawai dan anggota dari USPM, yang turut berkongsi pengalaman lapangan dan kaedah siasatan berdasarkan kes-kes sebenar yang ditangani sejak penubuhan unit tersebut pada 16 Ogos 2011.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam serta menyokong usaha nasional dan antarabangsa dalam melindungi hak asasi manusia dan keselamatan awam.

    Pegawai dan anggota dari USPM semasa menyampaikan taklimat. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda