Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Sekolah Menengah (SM) Masin, hari ini, telah mengadakan Taklimat Peraturan Tatatertib di Dewan Serbaguna, SM Masin.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengetua SM Masin, Ivan Moore. Juga hadir ialah guru-guru dan kakitangan Sekolah Rendah (SR) Sengkurong, SR Masin dan SM Masin.
Tujuan taklimat tersebut adalah agar setiap guru dan kakitangan mentaati semua peraturan dan arahan supaya mewujudkan warga perkhidmatan awam yang bersih, jujur, cekap dan amanah selaras dengan rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam.
Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Kerja, Ketua Sub Unit Tatatertib, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Haji Emmy Shamrry bin Haji Kadir.
Dalam taklimatnya, Haji Emmy Shamrry antara lain mengongsikan mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi para guru dan kakitangan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai-pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib), Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83).


Antara peraturan yang dikongsikan ialah mengenai kehadiran bekerja, keluar negeri tanpa kebenaran, terlibat dalam kes jenayah, permohonan keluar negeri, pekerjaan luar: tidak boleh melaksanakan sebarang pekerjaan luar daripada tugasnya, hadiah-hadiah dan pelbagai lagi.
“Apabila setiausaha tetap atau ketua jabatan menerima laporan dari agensi kerajaan tentang penglibatan pegawai atau kakitangan dalam kes jenayah yang melibatkan ketidakjujuran seperti curi, pecah amanah, rasuah atau mana-mana kesalahan yang melibatkan jawatannya atau kesalahan undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh penguasa tatatertib dari semasa ke semasa, maka ketua jabatan hendaklah mengambil tindakan,” kongsi Haji Emmy Shamrry.
Beliau juga menegaskan bahawa guru-guru dan kakitangan adalah dilarang daripada meninggalkan negara tanpa sebarang kebenaran awal ketua jabatan. Menurutnya, mereka yang gagal mematuhi peraturan tersebut mungkin akan dibuang kerja tanpa diadakan perbicaraan tatatertib.
Juga disentuh adalah mengenai kebenaran keluar negeri bagi pegawai yang digantung kerja, di mana seorang pegawai atau kakitangan yang ditahan atau digantung kerja tidak boleh meninggalkan negara kecuali dengan kebenaran Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, Haji Emmy Shamrry juga menyentuh mengenai keluar semasa waktu pejabat yang melebihi setengah hari.
“Jika seseorang pegawai itu keluar pejabat atas urusan peribadi yang munasabah semasa waktu pejabat yang memerlukan masa setengah hari sama ada sebelah pagi atau petang, maka ia dikehendaki memohon cuti satu hari,” jelasnya.