Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Dengan hasrat untuk menerapkan kesiapsiagaan rekrut dalam menjalankan tugas selepas menamatkan latihan, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran dan tunjuk ajar tatacara mengendalikan alat-alat pemadam api dengan betul untuk seramai 35 orang rekrut Setia Protective Security Services (SPSS) yang menjalani latihan di Bangunan SPSS di Jerudong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, taklimat juga diterapkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran dan pada masa yang sama, memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek keselamatan kebakaran.
Sebagai salah satu agensi keselamatan di Negara Brunei Darussalam, latihan kebakaran dan pengosongan bangunan akan dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keselamatan awam.
Ia juga salah satu aktiviti bagi pihak SPSS untuk mengesahkan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik bagi membolehkan interaksi, kerjasama dan menguatkan perhubungan di antara JBP serta pihak Syarikat SPSS.
JBP dalam kenyataannya lagi menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.