Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Seramai 66 orang petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Muara telah menyertai taklimat jerayawara mengenai jenayah pemerdagangan orang.
Taklimat disampaikan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Dalam taklimat tersebut, ia menekankan mengenai usaha untuk mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam.
Taklimat berkenaan juga diadakan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peserta yang hadir tentang kaedah-kaedah dalam mengetahui mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan di negara ini.
Pihak penguat kuasa dan agensi barisan hadapan disarankan untuk sentiasa berwaspada dan mengenal pasti identiti tetamu terlebih dahulu yang berkemungkinan terjebak serta dieksploitasi menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Kerjasama semua pihak turut diperlukan untuk memainkan peranan dalam mengatasi masalah pemerdagangan manusia, di samping sama-sama membantu PPDB memerangi jenayah ini.


