Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Hasrat untuk memperkasa pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas serta meningkatkan keyakinan dalam menghadapi situasi kecemasan menjadi landasan utama penganjuran sesi taklimat mengenai pembekalan dan penggunaan alat bantuan kecemasan, First Aid Kit oleh Medivac Services pagi tadi.
Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong disasarkan kepada penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah serta para pegawai hal ehwal masjid dan pegawai pemantau dari keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam, sebagai satu usaha ke arah meningkatkan tahap kesiapsiagaan di masjid, surau dan balai ibadat dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pemantau Zon 1 Daerah Brunei dan Muara, Awang Saufi bin Haji Suhaini sebelum diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Haji Zakaria bin Yassin dari Medivac Services yang turut disusuli sesi soal jawab.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat sebagai penutup kepada program penuh manfaat yang menyentuh aspek keselamatan fizikal dan kesiapsiagaan komuniti di rumah-rumah ibadat.
Melalui taklimat berkenaan, para peserta diharapkan mampu memahami fungsi dan kepentingan First Aid Kit di samping menguasai cara penggunaannya bagi memberi pertolongan cemas yang efektif sekali gus mengurangkan risiko kecederaan serius sebelum ketibaan bantuan profesional.



