Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat tumpu 4 subsektor

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Dengan matlamat untuk memberikan penerangan mengenai peluang-peluang perniagaan yang terdapat dalam sektor pemakanan dan perkhidmatan logistik, Unit Pembangunan Koperasi di bawah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengadakan sesi taklimat mengenainya di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Taklimat yang dihadiri oleh koperasi-koperasi yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam itu mengetengahkan topik-topik yang disampaikan oleh beberapa orang pegawai daripada agensi-agensi kerajaan yang antara lain merangkumi dasar-dasar, proses dan perkhidmatan yang dapat diceburi dalam sektor pemakanan dan perkhidmatan logistik.

    Antara yang dikongsikan adalah mengenai Peta Jalan Industri Makanan yang bermatlamat untuk meningkatkan pengeluaran makanan halal, selamat dan berkualiti tinggi serta mengukuhkan rantaian nilai industri makanan ke arah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi, eksport dan sekuriti makanan.

    Peta jalan berkenaan memberikan tumpuan kepada empat subsektor iaitu tanaman, penternakan, akuakultur dan pemprosesan.

    Taklimat pada hari kedua akan dimulakan dengan sesi perkongsian mengenai pengalaman syarikat-syarikat di bidang berkenaan dengan mendengarkan perkongsian daripada empat panel jemputan yang terdiri daripada wakil dari Syarikat Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Brunei International Airport Cargo Centre (BIACC), Muara Port Company Sdn Bhd (MPC) dan Gomamam.

    Program akan diakhiri dengan acara lawatan ke Syarikat Ghanim International Corporation Sdn Bhd dengan membawa para peserta untuk melihat secara lebih dekat perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan yang ada di bangunan Brunei Food Industry Development Multipurpose Manufacturing & Processing Facility (BFID).

    Para peserta dari koperasi-koperasi yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam semasa menghadiri sesi taklimat berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda